BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 3 Mac 2010

RASULULLAH DALAM INGATAN : MENTELADANI SIFAT RASULULLAH




MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.



Sememangnya sudah menjadi lumrah alam setiap yang datang akan pergi, setiap yang hidup akan mati dan setiap yang bermula akan berakhir. Begitulah juga dengan peredaran masa di mana tahun 2005 akan berlalu dan tahun 2006 akan tiba, ini menandakan musim persekolahan tahun 2006 juga akan bermula. Para ibu bapa, anak-anak dan guru-guru juga semuanya sibuk dengan urusan masing-masing. Pada waktu inilah ibu bapa berbelanja besar dari kebiasaan kerana membeli keperluan persekolahan anak-anak mereka dan inilah salah satu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh ibu bapa dengan harapan akan melihat anak-anak mereka berjaya dan menjadi orang pandai dan berilmu, seterusnya menjadi insane yang sempurna dan berguna di kemudian hari.



Itulah azam dan harapan serta cita-cita ibu bapa, semuanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Mempunyai azam dan cita-cita merupakan suatu perkara yang mesti ada pada diri seseorang kerana ia merupakan motivasi dan pendorong kepada individu tersebut melakukan sesuatu perkara ke arah yang lebih baik. Seperti pelajar, sudah setentunya berazam mahu menjadi pelajar cemerlang dan berjaya, guru berazam mendidik anak murid mereka secara terbaik, pekerja berazam meningkatkan daya usaha dan produktiviti kerja mereka, boleh dikatakan semua orang berazam untuk menjadi manusia yang berguna dan dihormati. Untuk menjadi manusia yang berguna dan dihormati memerlukan kepada perubahan sikap dan azam yang tinggi ke arah penghayatan ajaran Islam kerana agama Islam sahajalah yang dapat menunjukkan ke jalan yang lurus dan berakhlak mulia.



Agama Islam sangat mementingkan akhlak yang mulia kerana itulah para Rasul-rasul diutus bukan sahaja untuk menyebarkan syariat agama Islam yang benar dan betul, tetapi mendidik manusia supaya berakhlak mulia dan terpuji. Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan contoh terbaik untuk diteladani kerana Baginda memiliki keperibadian dan akhlak yang sangat mulia, sebagaimana dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 tafsirnya :



"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik".



Dan firman Allah Subhanahu Wataala lagi dalam Surah Al-Qalam ayat 4 tafsirnya :



"Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia".



Keperibadian tinggi serta akhlak mulia Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan hasil didikan dan pengajaran dari Al-Quran. Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha pernah berkata maksudnya :



"Sesungguhnya akhlak Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah Al-Quran".(Hadis riwayat Imam Muslim)



Al-Quran mendidik Baginda supaya bersifat mulia, pemaaf, sabar, adil, amanah, suka mengajak orang ke jalan kebaikan, melarang melakukan segala macam kemungkaran dan sebagainya.



Akhlak mulia sangat dituntut dalam Islam kerana itu Baginda turut mendidik umatnya supaya berakhlak mulia. Baginda menunjuk ajar dan memberikan bimbingan akhlak bukan hanya setakat teori atau cakap sahaja, tetapi Baginda sendiri melakukannya. Itulah cara pendidikan terbaik dan mendatangkan kesan mendalam. Amalan itulah yang menarik perhatian dan menjadi kepercayaan orang ramai, sekaligus mencontohi akhlak Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.



Yang sebenarnya kunci utama kea rah pembentukan akhlak yang mulia itu sebagaimana yang dimiliki oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah lahir daripada mempraktikkan sifat yang wajib bagi Rasul-rasul iaitu :



Pertama : Siddiq yang bermaksud benar dalam semua perkataan dan perbuatannya.



Kedua : Amanah yang bermaksud jujur dan dipercayai.



Ketiga : Tabligh iaitu menyebarkan dan menerangkan apa jua wahyu yang diterimanya dari Allah Subhanahu Wataala.



Keempat : Fatanah iaitu cerdik, bijaksana, pandai dan cerdas.



Itulah sifat-sifat yang menjadi kunci kejayaan Baginda Rasululla Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh dunia. Sifat inilah yang sepatutnya menjadi pakaian umat Islam jika mahu berjaya dan disegani serta dihormati. Kita lihat kejujuran dan sifat amanah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sehingga Baginda digelar �Al-Amin� iaitu orang yang dipercayai. Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang boleh menyakitkan perasaan orang lain. Baginda seorang yang tawaduk yakni merendah diri, tidak sombong dan riyak baik dari segi pertuturan dan perbuatan, bersifat belas kasihan dan suka memberikan pertolongan. Baginda tidak bersifat mungkir janji, mencela, memfitnah, berbohong, menipu, mengadu domba dan sebagainya. Memang benar dan tepatlah bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diutus ke dunia ini untuk menyempurnakan akhlak yang mulia sebagaimana sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Baihaqqi maksudnya :



"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu ia berkata sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Sesungguhnya bahawa aku ini diutus hanyalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak".



Ketahuilah bahawa umat Islam yang dipandang mulia dan baik di sisi Allah Subhanahu Wataala ialah mereka yang baik akhlaknya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari maksudnya :



"Daripada Masruq ia berkata : Sesungguhnya kami duduk bersama Abdullah bin Amru, ia menceritakan kepada kami dan berkata : Tidak pernah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melakukan perkara-perkara buruk dan tidak juga perkara-perkara yang keji. Dan sesungguhnya ia berkata : Sebaik-baik kamu ialah yang terbaik akhlaknya di kalangan kamu".



Perlu disedari bahawa buruk akhlak itu merugikan dan menjadi racun yang membunuh, perbuatan yang memalukan dan menandakan moral yang rendah, bahkan sebagai penyebab jauhnya manusia dari sisi Allah Subhanahu Wataala dan memudahkannya terperangkap ke dalam hasutan syaitan yang kesudahannya menjadi penghuni Neraka. Oleh itu ingatlah bahawa akhlak buruk dan budi pekerti yang jahat itu merupakan penyakit yang bersarang dalam hati dan racun yang membelenggu jiwa yang tidak boleh dibiarkan, jangan sampai menjadi tabiat yang sukar untuk dibuang sehingga tidak ada rasa malu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.



Rawatlah sebelum terlambat dengan membuang sifat-sifat buruk yang ada dalam diri kita dan menggantikannya dengan sifat baik dan terpuji. Jika kita seorang yang bakhil gantikanlah dengan bermurah hati, jika kita seorang yang sombong jadilah seorang yang merendah diri, jika kita seorang pendendam jadilah seorang yang pemaaf, begitulah seterusnya. Yang sebenarnya semua ini boleh dilakukan jika ada azam dan tekad untuk mengubahnya. Apa yang penting kemahuan diri dan melazimkan diri mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dan menjauhi larangan-Nya. Bukankah Allah Subhanahu Wataala telah berfirman dalam Surah Al-Ankabuut ayat 45 tafsirnya :



"Dan dirikanlah sembahyang dengan tekun. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar".



Ingatlah bahawa akhlak buruk dan keji itu selalu mengganggu kehidupan, fikiran kacau, tiada ketenangan, menimbulkan berbagai masalah dan penyakit sosial, menghilangkan sifat perpaduan, kedamaian dan kasih saying dalam berkeluarga, bermasyarakat, beragama dan bernegara.



Oleh itu elakkanlah diri kita bersifat keji yang dibenci Allah Subhanahu Wataala. Mohonlah kepada-Nya supaya kita dapat menteladani Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan sebaik-baiknya, baik zahir mahupun batin, ibadat-ibadatnya dan amal-amal salihnya, percakapan atau perbuatannya dalam apa jua hal dan keadaannya. Semoga dengan demikian kita akan selamat di dunia dan di akhirat.



Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah An-Nahl ayat 90 tafsirnya :



"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu dengan suruhan dan melarang-Nya ini supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya".


sedutan laman web Kementerian Hal Ehwal Agama Negara Brunei Darussalam

0 comments: