BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 2 September 2009

RENCANA : KONSEP KESUKARELAAN

KONSEP KESUKARELAAN

Perkataan “sukarela”, menurut Kamus Dewan, bermakna “dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak dikerah dan dengan rela hati”. Manakala perkataan “kesukarelaan” pula membawa makna “sikap sukarela”. Selanjutnya, mereka yang melakukan sesuatu dengan sukarela dipanggil “sukarelawan” bagi lelaki dan “sukarelawati” bagi perempuan.

Berasaskan makna tersebut, kesukarelaan dapat dimaksudkan sebagai melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa atau dikerah, dengan niat yang ikhlas atau setulus kudus dan dengan tidak mengharapkan apa-apa pulangan kepada diri sendiri.
Dalam bahasa lain, misalnya bahasa Inggeris, terdapat perkataan “voluntarism” yang menurut The Reader’s Digest-Oxford Wordfinder, membawa erti “the principle of relying on voluntary action rather than compulsion; the doctrine that the will is a fundamental or dominant factor in the individual or the universe; the doctrine that the Church or schools should be independent of the state and supported by voluntary contributions”.
Manakala perkataan “voluntary” pula bermaksud “done, acting or able to act of one’s free will; unpaid work; built, brought about, produced, maintained, etc., by voluntary action or contribution”. Perkataan “volunteer” pula merujuk “a person who voluntarily undertakes a task or enters a military or other service, undertakes or offer one’s services, be a volunteer”.
Dalam masyarakat Melayu, tradisi kesukarelaan, antara lain, malahan terutamanya, dicerminkan oleh konsep “gotong royong”. Gotong royong dipraktikkan dalam kehidupan bermasyarakat penyayang dan prihatin, misalnya dalam membantu kerja-kerja membuat kenduri-kendara, turun ke sawah untuk menyemai dan menuai, menguruskan sakit pening dan kematian, memindahkan rumah dan sebagainya.

Konsep gotong-royong dan bantu membantu ini diperkukuhkan oleh sebahagian daripada item budaya masyarakat seperti yang dicerminkan oleh peribahasa “yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing” dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.
Konsep gotong-royong mengakomodasi setiap anggota dalam sesebuah masyarakat, iaitu dengan memberikan peranan kepada semua orang, dan masing-masing dengan gunanya, seperti yang dapat dilihat dalam puisi berikut yang diambil dari Hikayat Malim Deman:
Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta menghembus lesung,
Yang lumpuh pengalau ayam,
Yang pendek tinjau-meninjau,
Yang kurap memikul buluh.

Pada masa yang sama, di sesetengah masyarakat yang lain juga terdapat tradisi kemasyarakatan yang hampir sama, misalnya harambee di Kenya, barangay di Filipina dan minga di Amerika Latin.

Sementara itu, Islam memberikan petunjuk yang amat mempromosi dan menggalakkan nilai, sikap dan amalan kesukarelaan. Antara lain, ini dapat dilihat dengan jelas melalui beberapa potong ayat al Qur’an yang merujuk konsep fastabiqul khairat iaitu berlumba-lumbalah berbuat kebajikan (al Maidah:48) dan ayat berikut:
“Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar dan bersegera kepada mengerjakan pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang saleh”.
(al Imran: 114)

Dalam konteks ini, asas utama yang menitikberatkan kerja-kerja kesukarelaan dalam Islam ialah dari segi keperluan manusia Muslim memelihara hubungan yang rapat dengan Tuhan (hablu min Allah), dan pada waktu yang sama memelihara hubungan sesama manusia (hablu min ‘an nas).
Di samping itu, Islam menekankan peri pentingnya semangat pengorbanan (ruh al-tadhhiyyah) berlaku dalam diri seseorang Muslim, kerana ia mempunyai nilai yang paling tinggi di sisi Allah s.w.t. dan balasannya ialah pahala pada Akhirat kelak. Ini akan menjadi lebih jelas lagi jika ia disoroti pula dari beberapa sudut yang lain, misalnya dari sudut persaudaraan (ukhuwwah) dan dari sudut pembelaan Islam terhadap golongan yang terbiar (al mustad’afin).
Dalam tradisi Buddhisme, Buddha telah memberikan doktrin serta nasihat tentang empat perkara asas untuk kebahagiaan di dunia dan empat perkara asas untuk kebahagiaan di akhirat. Satu daripada asas untuk kebahagiaan di akhirat itu ialah syaga yang bermaksud mengamalkan kebajikan serta kemurahan tanpa penumpuan dan kegilaan kepada kekayaan material semata-mata.
Sementara itu, soal kesejahteraan sosial dan kebajikan turut diungkapkan dalam Kristianiti, misalnya:
“Heal the sick, raise the dead cleanse the lepers cast out demons; freely you received, freely give”.
(Matthew 10:8)

“…and do good…expecting nothing in return; and your reward will be great, and you will be sons of the Most High…”.
(Luke 6:35)
Semua ini adalah unsur-unsur yang memperkayakan kesukarelaan, termasuk di negara ini. Ia akhirnya menyerlah dalam pelbagai bentuk: dari kerja-kerja sukarela secara sendirian kepada secara berkumpulan; dari organisasi tidak formal kepada organisasi formal; dari peringkat kampung hingga ke peringkat kebangsaan; dan dari dalam negeri hingga ke luar negara. Begitu sekali tradisi ini membudaya dalam masyarakat negara ini, sehingga mereka yang tidak bercampur dalam masyarakat diibaratkan “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.

Bagaimanapun, kesukarelaan mungkin membawa makna yang berbeza kepada orang yang berbeza, kepada masyarakat yang berbeza dan kepada zaman yang berbeza. Ini adalah kerana makna kesukarelaan turut juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor, seperti sejarah, politik, ekonomi dan budaya sesuatu masyarakat dan tempat.
Ada orang mungkin melihat kesukarelaan dalam bentuk “idealisme” atau “altruisme” atau “goodness of heart” atau “charitable souls”. Ada orang mungkin menyanjung kesukarelaan sebagai gerakan yang baik atau positif lalu, jika di Amerika Syarikat sebagai tempatnya, menyelarikannya misalnya, dengan Martin Luther King. Sebaliknya, ada pula orang di Amerika Syarikat yang mungkin mencemuh kesukarelaan dengan menyelarikannya pula misalnya, dengan Klu Klux Klan. Kedua-dua persepsi yang bertentangan ini adalah akibat dipengaruhi oleh pengalaman-pengalam an tertentu.
Perkataan “kesukarelaan” biasanya digabungkan dengan perkataan “khidmat” atau “bakti” (service). Makna perkhidmatan juga berbeza-beza dari seorang ke seorang. Bagi sesetengah orang, ia mungkin bermaksud “satu tradisi atau tanggungjawab agama atau moral”. Orang kedua mungkin melihatnya sebagai “suatu perlakuan yang jelas, yang tidak sentimental dan merupakan semangat keberkawanan”. Manakala orang ketiga boleh sahaja melihatnya sebagai “bukan sahaja kebaikan kemanusiaan, malahan peluang untuk belajar tentang mereka yang dihulurkan bantuan perkhidmatan itu”.
Kesukarelaan juga boleh dijadikan ukuran atau pembayang tentang sifat-sifat kemanusiaan yang terdapat dalam diri seseorang atau sesuatu kumpulan manusia. Orang yang sering terlibat dalam kerja-kerja sukarela akan dilihat sebagai seorang yang bersifat mulia. Manakala yang tidak mahu langsung menyertai kerja-kerja kesukarelaan akan dilihat sebagai seorang yang mementingkan diri sendiri.

Kerana itu, apabila sesuatu kumpulan manusia ingin memilih seseorang untuk diberikan sesuatu tugas atau tanggungjawab, misalnya menjadi pemimpin untuk sesuatu organisasi, maka antara kayu ukur yang digunakan untuk memilih calon pemimpin tersebut ialah seseorang yang mempunyai banyak pengalaman dalam kerja atau program kesukarelaan.
Di samping itu, hidup dan bebasnya organisasi sukarela boleh pula membayangkan tahap amalan demokrasi dalam sesebuah negara. Lazimnya di negara yang kerajaannya bersifat autokrasi, organisasi sukarela tidak digalakkan untuk bergerak dengan bebas. Jika terdapat organisasi sukarela yang aktif, maka ia berkemungkinan besar adalah yang pandai mengampu atau yang memang ditubuhkan oleh elemen-elemen kerajaan tersebut untuk menjadi ejennya.
Pada masa yang sama, keaktifan kerja-kerja kesukarelaan boleh membayangkan tahap kesedaran politik masyarakat di sesebuah negara. Ini terutamanya apabila kerja kesukarelaan melibatkan unsur-unsur gerakan dan perjuangan. Masyarakat yang tidak celik politik atau rendah kesedaran politiknya akan sukar memahami kerja sukarela yang berorientasi advokasi.
Organisasi-organisa si kesukarelaan, yang biasanya lebih dekat dengan denyut nadi rakyat, perlu dibawa oleh kerajaan untuk berpartisipasi dalam proses membuat keputusan, iaitu dengan mengamalkan konsep perundingan (syura) dalam governans atau tadbir urus (governance) negara. Tetapi, amalan perundingan hanya akan dapat berkembang dan memanfaatkan jika terdapat suasana yang kondusif, kemerdekaan berfikir, kebebasan bersuara dan sikap terbuka, dan bukannya dalam suasana takut berbeza pendapat dengan seseorang yang lebih berkuasa.
Adakah kesukarelaan bermaksud semuanya percuma? Dengan mengambil kira semua makna dan persepsi tentang kesukarelaan, maka ia harus dilihat dalam satu continuum yang bermula dengan yang seidealnya dan berakhir dengan seminimumnya. Dalam konteks yang praktikal, yang dimaksudkan kesukarelaan di sini ialah:
“Satu continuum yang bermula dari seideal melakukan sesuatu dengan percuma dan setulus kudus hinggalah ke tahap menerima upah, tetapi yang di bawah garis harga pasaran semasa”.
Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman, kesukarelaan mungkin menyerlah dalam corak yang berbeza dalam keadaan yang berbeza, akibat kefahaman yang berbeza. Sesuatu yang dilihat sebagai kesukarelaan di sesebuah negara mungkin dianggap sebagai pekerjaan gaji rendah atau bidang intensif buruh di negara yang lain.

Meskipun begitu, di sebalik kefahaman yang berbeza-beza ini, tiga ciri asas masih dapat dikenalpasti untuk menentukan kesukarelaan. Pertama, kerja tersebut tidak dilakukan dengan matlamat untuk mendapatkan balasan kewangan. Bagaimanapun, gantian (reimbursement) bagi perbelanjaan yang diperlukan dan sedikit bayaran saguhati (token) adalah dibenarkan.
Kedua, kerja tersebut hendaklah dilaksanakan secara sukarela iaitu mengikut kerelaan si-pelaku itu. Di sini terdapat juga ruang yang kabur, misalnya dalam kes di mana sekolah menganjurkan skim khidmat masyarakat yang menggalakkan, dan kadangkalanya memerlukan, pelajar-pelajarnya terlibat dalam kerja-kerja dan program-program kesukarelaan.
Dan ketiga, kerja tersebut hendaklah mendatangkan manfaat kepada sesuatu kelompok masyarakat atau orang lain dan bukannya sukarelawan itu sendiri. Bagaimanapun, hakikat bahawa kesukarelaan juga mungkin mendatangkan manfaat yang signifikan terhadap si-sukarelawan itu sendiri perlu juga diterima.


EMAIL DARI dR aNIS

0 comments: