BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Jumaat, 26 Februari 2010

Corak kehidupan masyarakat pengaruhi peribadi remaja

Oleh UMMU ZAYDA
Menjadi ibu bapa pada zaman yang sangat pesat berkembang dan berubah bukan mudah. Para ibu bapa sekarang menghadapi banyak cabaran dan dugaan dalam usaha untuk membesar dan mendidik serta membentuk sahsiah dan akhlak anak-anak mereka.
Peringkat yang paling sukar sekali bagi ibu bapa ialah peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak-anak mula menunjukkan perubahan dalam tingkah laku, dalam pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat, cara gaya, berpakaian, dan lain lain.

Inilah peringkat yang penuh dengan berbagai-bagai pengaruh serta tekanan luar dan kebanyakannya membawa pengaruh yang tidak baik, iaitu yang melekakan, yang mengkhayalkan, yang menyelewengkan akidah, yang akhirnya merosakkan akhlak serta menyebabkan pelbagai jenis salah laku dan jenayah di kalangan remaja.
Dengan pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat sekali, minda kita, ketahanan iman kita, jati diri kita mudah tergugat akibat dari pengaruh pemikiran yang diimport, budaya dan nilai nilai luaran yang mencemari serta menghakis keperibadian, nilai dan budaya Timur dan Islam.
Kemewahan dan kebendaan ekoran daripada kekayaan yang dinikmati hasil daripada usaha-usaha pembangunan ekonomi telah sikit demi sikit mula menghakis dan mencemari pemikiran, nilai dan budaya kita. Akhirnya, ketahanan diri remaja lentur dan pupus mengakibatkan sebahagian daripada mereka terjebak dalam penagihan dadah, aktiviti-aktiviti jenayah, lepak, pengangguran, maksiat dan berbagai bagai gejala yang kita sentiasa mendengar dan membaca dari media elektronik dan cetak.
Patutkah kita pertanggungjawabkan segala masalah dan gejala tersebut ke atas bahu ibu bapa? Mungkinkah ada kuasa lain yang boleh membendung atau mengawal daripada merebaknya penyakit-penyakit sosial dari kalangan masyarakat kita! Memang tidak boleh disangkal bahawa peranan ibu bapa sekarang adalah jauh berbeza daripada tanggungjawab ibu bapa satu jenerasi sebelum ini. Mampukah ibu bapa membendung berlakunya perkara ini?
Ketika kanak kanak dahulu, mereka manja, suka disayangi, suka dipeluk cium dan sangat menghiburkan ibu bapa. Tetapi apabila mereka menjangkau ke peringkat remaja, mereka berubah laku, tidak suka lagi berbincang atau berkomunikasi dengan ibu bapa mereka.
Remaja lebih suka berinteraksi dengan rakan sebaya mereka. Jika mereka pilih daripada rakan-rakan yang terdiri daripada mereka yang mengajak kepada kebaikan, bersyukurlah kita.
Bagaimanapun, ramai daripada mereka lebih suka mengajak kepada kemungkaran dan maksiat. Sedikit demi sedikit tabiat buruk akan meresap ke dalam jiwa remaja dan akhirnya alam mereka berubah kepada yang buruk.
Remaja sekarang lebih suka menghadap telivisyen, radio dan komputer daripada bersemuka dengan ibu bapa dan adik beradik. Ini mempunyai kesan yang begitu negatif sekali kerana dengan keashikan mereka mengabaikan pelajaran. Mereka tidak menyahut panggilan ibu bapa untuk makan bersama, untuk sembahyang bersama dan untuk aktiviti-aktiviti bersama.
Oleh sebab keasyikan ini juga, tugas harian mereka seperti mengemas bilik, membasuh pakaian, membuat kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran semuanya terganggu dan terbiar. Akibatnya, mereka akan mengalami masalah dalam proses pendidikan mereka, ada yang gagal, ada yang terkecundang.
Pergaulan dengan rakan rakan remaja mengakibatkan mereka mempelajari tabiat yang negatif. Mereka bermula merokok, minum arak dan dengan sedikit demi sedikit mereka terdedah kepada aktiviti aktiviti maksiat seperti disko, kelab malam dan banyak dikalangan mereka terperangkap dalam aktiviti perzinaan atau lain lain aktiviti seksual di luar nikah. Yang lebih teruk lagi terperangkap dalam gejala penagihan dadah dan lain jenis jenayah seperti mencuri, merompak, peras ugut dan lain-lain.
Ramai daripada kita mengalami berbagai-bagai masalah anak khususnya di peringkat remaja dan zaman muda mereka. Sebagai ibu bapa bagaimana kita cuba mencegah daripada berlakunya keadaan sedemikian?
Pada pandangan saya sendiri, perkara yang terpenting dalam membendung gejala gejala sosial dan jenayah remaja ialah asas pendidikan ugama Islam yang perlu dipertekankan sejak dari kecil lagi, menentukan bahawa anak anak kita menghayati agama dengan menguatkan akidah serta amalan.
Kita perlu meningkatkan kefahaman al-Quran dari masa ke semasa, memperbaiki amalan amalan yang dituntut oleh Allah dan ini dikerjakan bersama di kalangan ahli-ahli keluarga dan bapa sebagai ketua dalam aktiviti ini. Malangnya dalam zaman yang begitu mewah sekali, kebanyakan daripada kita leka dan memandang rendah pada aktiviti keagamaan. Pada pendapat saya agama Islam sahajalah yang boleh menyelamatkan anak-anak remaja kita dari segala gejala dan penyakit sosial yang dialami oleh remaja sekarang.
Para remaja suka mengikuti apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka dan juga pemimpin negara. Oleh hal yang demikian itu, kita sebagai ibu bapa dan sebagai pemimpin patut memberi contoh yang terbaik seperti yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w adalah contoh yang terbaik dalam membentuk akhlak dan keperibadian manusia. Para remaja perlu bimbingan, pedoman, sokongan dan galakkan untuk melakukan amal maaruf.
Para pemimpin dan pentadbir pula perlu mengadakan dasar dan undang-undang yang menuju ke arah membendung dan jika boleh membasmi terus maksiat yang kini sedang bermahrajalela di kalangan masyarakat kita. Hapuskan tempat-tempat maksiat (perjudian, pelacuran, minum arak, tarian-tarian, karaoke dan sebagainya) seperti kasino, pub, disko, sarang-sarang pelacuran dan sebagainya.
Hentikan atau tarik balik lesen mereka. Jika sukar tempatkan pusat-pusat maksiat tersebut dipusat bandar besar sahaja. Kawasan-kawasan perumahan seperti Bangsar, Damansara, Ampang dan lain-lain lagi patut dibersihkan dari unsur-unsur maksiat tersebut. Tentukan undang-undang dikuatkuasan mengikut lunas-lunas Islam. Apabila kita hanya memikirkan keuntungan wang ringgit sahaja, nescaya generasi akan datang khususnya para remaja Islam akan musnah.
Nikmat Islam adalah sebesar-besar nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita, dan nikmat ini perlu dipelihara dan dijaga hingga akhir hayat kita. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 102 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
Tidak sempurna Islam kita, melainkan dengan ilmu dan keindahan ilmu itu dengan akhlak. Ilmu tanpa akhlak tidak akan berfaedah. Penentuan kebaikan akhlak dan ketinggian moral diukur dengan agama dan akal. Kesimpulannya seseorang itu tidak akan sempurna agamanya kalau dia jahil tentang ajarannya dan kalaupun dia ada ilmu tidaklah sempurna ilmunya itu kalau akhlaknya tidak sempurna.
Untuk menyempurnakan ilmunya itu, dia perlu menggunakan akal fikirannya, untuk mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perangai itu. Agama Islam adalah agama akhlak. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Agama itu adalah kebaikan akhlak.”
Baginda juga bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada dan susulilah perbuatan jahat yang telah dilakukan dengan perbuatan baik yang memadamkannya, dan bergaullah kamu sesama umat denganpergaulan yang baik. Jelasnya untuk menjaga imej Islam, menampakkan keindahan Islam sesama Islam dan kepada yang bukan Islam juga ialah dengan pergaulan dan akhlak yang baik.”
Di dalam ajaran Islam, sebagaimana yang telah kita maklumi, untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, kita tidak hanya disuruh mencari akhirat dengan meninggalkan dunia, atau sebaliknya mencari dunia dengan meninggalkan akhirat.
Kembali kepada sejarah umat Islam generasi pertama, generasi Nabi Muhammad, sahabat dan tabi’in yang dikatakan sebagai salaf mereka telah mewakili masa mereka dalam menampakkan kewibawaan ummah, mereka telah mentahkikkan apa yang dianugerah Allah kepada mereka iaitu sebagai Khairun Ummah dan mereka juga menjadi Ummatan Wasatha. Jelasnya, apa yang dijelaskan Allah di dalam al-Quran dalam dua ayat berikut telah mereka laksanakan, iaitu firman Allah yang bermaksud.
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia (sebagai umat contoh) kamu menyuruh orang membuat kebajikan dan melarang orang daripada kejahatan dan kamu beriman kepada Allah.” (Ali-Imran: 110)
Dan firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan begitulah Kami jadikan kamu umat yang pertengahan untuk menjadi saksi terhadap manusia dan Rasulullah menjadi saksi terhadap kamu.” (al-Baqarah: 143)
Kalau kita kaji sejarah mereka yang terdahulu, yang telah maju dari segi dunia dan akhirat. Mereka telah memberi sumbangan kepada tamaddun dunia dengan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi, dan mereka juga tidak mengabaikan tugas dakwah mengajak orang ramai kepada tauhid, kepada amal baik, kepada akhlak mulia, sebagaimana yang merekatunjukkan dalam hidup mereka. majoriti umat berdisiplin dan berusaha memajukan diri demi untuk kepentingan diri dan masyarakat ramai. Inilah yang kita harapkan daripada masyarakat Islam kita hari ini.
Marilah kita bekerjasama, berganding bahu masing-masing dengan kemampuan untuk membasmi segala gejala yang tidak sihat di dalam masyarakat kita demi untuk menjaga imej kita di dalam negara yang sedang meningkat maju ini dalam menghadapi alaf baru.
Dalam usaha mencapai matlamat pembentukan akhlak terpuji, nilai-nilai keislaman perlu menjadi teras dalam kehidupan. Langkah menerapkan keimanan dan ketakwaan dalam diri anggota masyarakat amatlah penting sebagaimana ditegaskan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi bahawa kepincangan di kalangan umat kini adalah berpunca dari dalam diri yang mementingkan diri sendiri dan meletakkan kesalahan di atas bahu orang lain.


Manifestasi daripada keruntuhan akhlak dan moral yang melanda umat dewasa ini, maka negara kita dibebani dengan pelbagai masalah seperti jenayah, rasuah, pelacuran, penderaan, perjudian, maksiat, zina, sumbang mahram, budaya kuning, pergaulan bebas, bersekedudukan, dan sebagainya.

Corak kehidupan masyarakat hari ini banyak yang tidak membantu ke arah menangani masalah keruntuhan akhlak. Contohnya sikap individualistik dan tidak pedulikan jiran. Melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar makin terhakis. Malahan sesetengah ibu bapa enggan menerima teguran dan nasihat. Berlaku perbalahan dengan jiran kerana tegur menegur kelakuan anak-anak. Guru turut menjadi sasaran ibu bapa kerana menggunakan sedikit ketegasan dalam mendisiplinkan pelajar.

Pengaruh media elektronik dan media cetak yang menonjolkan ‘budaya hawa nafsu’ dikatakan di antara punca keruntuhan akhlak. Banyak bahan yang disiarkan sama ada dari filem Barat, drama tempatan, iklan-iklan perniagaan sebagainya memaparkan adegan-adegan yang tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam. Media memberikan cermin diri kepada remaja mengenai gaya hidup yang jauh beza dan janggalnya dengan cara hidup timur kita.

Adalah sangat menyedihkan dan sangat memilukan hati, serta memalukan agama dan masyarakat, jika terdapat lagi di kalangan kita mereka yang hanya meniru sesuatu yang rendah, yang memalukan dan yang menunjukkan kerendahan moral. Sedangkan umat Islam ada peraturan dan adab sopannya yang tersendiri bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, pengajaran Allah dan Rasul-Nya.







Marilah kita bersama melakukan sesuatu memainkan peranan menasihatkan anak-anak kita, generasi muda dan para belia serta beliawanis yang ada hubungan dengan kita, kawan sekerja dan sahabat handai kita, agar mereka memahami hakikat bahawa Islam adalah sesuatu yang mahal harganya, yang perlu kita pelihara, jaga nama baiknya dan maruahnya.

Marilah kita jaga akhlak Islamiah kita, nilai-nilai moral yang tinggi yang menjadi warisan kita dan contoh-contoh yang baik yang patut kita anuti untuk kebaikan dunia dan akhirat kita.
“Demi masa, manusia sentiasa di dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal salih, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (al-‘Asr)







sedutan ummatanwasatan.net

0 comments: